SOALAN LAZIM (FAQ) PENGKOMPUTERAN AWAN

Kemasi Kini: 30 November 2023

Apakah pekeliling yang boleh dijadikan panduan bagi perolehan perkhidmatan pengkomputeran awan?

  1. Pekeliling Kemajuan Perkhidmatan Awam (PKPA) Bilangan 1 Tahun 2021: Dasar Perkhidmatan Pengkomputeran Awan Sektor Awam, bertarikh 10 Jun 2021;
  2. Surat Pekeliling Am Bilangan 2 Tahun 2021: Garis Panduan Pengurusan Keselamatan Maklumat Melalui Pengkomputeran Awan (Cloud Computing) Dalam Perkhidmatan Awam, bertarikh 9 Ogos 2021; dan
  3. PK 2.6: Pekeliling Perolehan Perkhidmatan Pengkomputeran Awan (Cloud) Sektor Awam, berkuat kuasa mulai 15 April 2022.

Apakah prosedur atau tatacara untuk melaksanakan perolehan pengkomputeran awan?

Terdapat empat (4) tatacara perolehan pengkomputeran awan seperti berikut:

  1. Kos projek kurang dari RM5 juta dan menggunakan peruntukan MAMPU
    1. Melaksanakan kajian pasaran terhadap empat (4) Panel Managed Service Provider (MSP);
    2. Mendapatkan kelulusan JPICT di peringkat Kementerian/Agensi;
    3. Melengkap dan menghantar templat permohonan perkhidmatan pengkomputeran awan kepada mygovcloud@mampu.gov.my. Templat permohonan boleh didapati di portal MAMPU;
    4. Mendapatkan kelulusan JPICT MAMPU; dan
    5. Melaksanakan perolehan mengikut tatacara yang ditetapkan PK2.6.
     
  2. Kos projek kurang dari RM5 juta dan menggunakan peruntukan selain peruntukan MAMPU
    1. Melaksanakan kajian pasaran terhadap empat (4) Panel Managed Service Provider (MSP);
    2. Mendapatkan kelulusan JPICT di peringkat Kementerian/Agensi;
    3. Melengkap dan menghantar templat permohonan perkhidmatan pengkomputeran awan kepada urussetiajtisa@mampu.gov.my dan mygovcloud@mampu.gov.my. Templat permohonan boleh didapati di portal MAMPU; dan
    4. Melaksanakan perolehan mengikut tatacara yang ditetapkan PK2.6.

  3. Kos RM5 juta dan ke atas
    Tatacara adalah sepertimana permohonan kelulusan teknikal JTISA.
    1. Melaksanakan kajian pasaran terhadap empat (4) Panel Managed Service Provider (MSP);
    2. Mendapatkan kelulusan JPICT di peringkat Kementerian/Agensi;
    3. Permohonan dikunci masuk ke dalam Sistem PROFIT; dan
    4. Melaksanakan perolehan mengikut tatacara yang ditetapkan PK2.6.
     
  4. Kos projek kurang dari RM5 juta dan menggunakan peruntukan selain peruntukan MAMPU yang melibatkan Managed Service Provider (MSP) sebagai Pengedar Tunggal (Sole Provider)
    1. Melaksanakan kajian pasaran melalui pengedar tunggal;
    2. Mendapatkan kelulusan JPICT di peringkat Kementerian/Agensi;
    3. Melengkap dan menghantar templat permohonan perkhidmatan pengkomputeran awan kepada urussetiajtisa@mampu.gov.my dan mygovcloud@mampu.gov.my. Templat permohonan boleh didapati di portal MAMPU;
    4. MAMPU mengesahkan bahawa produk hanya ditawarkan oleh satu CSP (pengedar tunggal) dan boleh dilaksanakan secara rundingan terus; dan
    5. Melaksanakan perolehan mengikut tatacara yang ditetapkan PK 2.6.

Bagaimanakah kaedah perolehan lesen perisian Microsoft?

  1. Kontrak yang masih berkuat kuasa
    1. Agensi boleh meneruskan kontrak sedia ada sehingga tempoh kontrak tersebut tamat;
    2. Bagi kontrak yang akan tamat pada atau sebelum 30 September 2022, Agensi dibenarkan untuk melanjutkan kontrak sehingga tempoh maksimum selama satu (1) tahun sahaja (tempoh interim). Pelanjutan kontrak ini adalah tertakluk kepada tatacara sedia ada; dan
    3. Perolehan baharu selepas tempoh interim hendaklah dilaksanakan berdasarkan PK2.6 untuk tempoh 3 tahun.

  2. Kontrak yang telah tamat
    Pembaharuan lesen hendaklah dilaksanakan berdasarkan PK2.6 untuk tempoh 3 tahun.
  3.  
  4. Kontrak baharu
    Perolehan baharu hendaklah dilaksanakan berdasarkan PK2.6 untuk tempoh 3 tahun.

  5. Nota:
    Kontrak Pusat Master Licensing Agreement (MLA) telah tamat pada 1 Februari 2021.

Apakah prosedur atau tatacara untuk melaksanakan perolehan Google Workspace For Education?

  1. Mendapatkan kelulusan JPICT di peringkat Kementerian/Agensi;
  2. Melengkap dan menghantar templat permohonan perkhidmatan pengkomputeran awan kepada urussetiajtisa@mampu.gov.my dan mygovcloud@mampu.gov.my. Templat permohonan boleh didapati di portal MAMPU;
  3. MAMPU mengesahkan bahawa Google Workspace For Education hanya ditawarkan oleh satu MSP (pengedar tunggal) dan boleh dilaksanakan secara rundingan terus; dan
  4. Melaksanakan perolehan mengikut tatacara yang ditetapkan PK2.6.

  5. Nota:
    Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd. melantik Syarikat Awantec System Sdn. Bhd. sebagai MSP bagi produk Google Workspace.

Adakah kos penggunaan perkhidmatan awan ditanggung oleh MAMPU?

Agensi boleh memohon kepada MAMPU bagi penggunaan peruntukan  perkhidmatan pengkomputeran awan di bawah projek Government Hybrid Cloud (GHC). Peruntukan hanya boleh digunakan bagi skop perkhidmatan berikut:

  1. Infrastructure as a service (IaaS);
  2. Platform as a service (PaaS);
  3. Software as a service (SaaS);
  4. Cloud professional services yang ditawarkan oleh Panel CSP dan MSP; dan
  5. Cloud managed services yang ditawarkan oleh MSP.
Professional services dan managed services yang tidak berkaitan secara langsung dengan perkhidmatan pengkomputeran awan yang ditawarkan oleh Panel CSP dan MSP tidak termasuk dalam skop yang ditanggung oleh MAMPU.

Peruntukan GHC di bawah MAMPU hanya merangkumi lima (5) jenis perkhidmatan tersebut di atas yang disediakan oleh empat (4) Panel CSP dan empat (4) MSP sahaja. Perkhidmatan lain seperti pembangunan, penyelenggaraan serta khidmat sokongan berkaitan sistem dan yang seumpamanya tidak tertakluk di bawah tanggungan MAMPU.

Apakah skop perkhidmatan yang tidak termasuk dalam peruntukan dalam Projek Government Hybrid Cloud (GHC) MAMPU dan perlu disediakan oleh agensi?

Perkhidmatan migrasi, pembangunan sistem (yang memerlukan pelantikan System Integrator (SI)), penyelenggaraan, pengoperasian/managed services etc.

Siapakah penyedia Perkhidmatan Pengkomputeran Awan Sektor Awam?

Perkhidmatan Pengkomputeran Awan Sektor Awam merupakan gandingan antara MAMPU sebagai penyedia perkhidmatan cloud Kerajaan dengan empat (4) panel Cloud Service Provider (CSP) iaitu :

  1.  Amazon Web Services (AWS) Sdn. Bhd.;
  2.  Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd.;
  3.  Microsoft (Malaysia) Sdn. Bhd.; dan
  4.  Telekom Malaysia Berhad.
Manakala Managed Service Provider (MSP) yang merupakan syarikat tempatan yang dilantik oleh CSP masing-masing iaitu :
  1. Radmik Solutions Sdn. Bhd.
  2. Awantec System Sdn. Bhd.
  3. Enfrasys Solutions Sdn. Bhd.
  4. Cloud Connect Sdn. Bhd.

Apakah Kod Bidang bersesuaian bagi perolehan pengkomputeran awan?

 

210103 Software all computer software, operating system, database, off-the-shelf packages including maintenance;
210104 Software / system development including maintenance-data entry/data processing;
210105 Telecommunication/networking supply product, infrastructure, services including maintenance LAN/WAN/Internet/wireles/satellite);
210106 Data management – provide service including maintenance (database/web hosting, disaster, planning/recovery, information storage/retrieval); dan
210107 ICT security and firewall, Encryption, PKI, AntiVirus.

Bagaimana sekiranya sesuatu produk/ perkhidmatan pengkomputeran awan yang dimohon tidak ditawarkan oleh semua Panel CSP?

Senario 1
Sekiranya produk/ perkhidmatan pengkomputeran awan tersebut digunakan secara meluas di sektor awam (well known/common) seperti Adobe, Kahoot, AutoCad dan lain-lain, pengecualian boleh dipertimbangkan.

Senario 2
Sekiranya produk/ perkhidmatan pengkomputeran awan tersebut tidak digunakan secara meluas di sektor awam dan agensi pemohon belum menggunakannya:

  1. Agensi perlu membuat kajian pasaran di kalangan empat (4) Panel MSP/CSP untuk mendapatkan produk/ perkhidmatan yang setara; dan
  2. Sekiranya hasil kajian pasaran menunjukkan bahawa tiada produk yang setara, pengecualian boleh dipertimbangkan.

Adakah perisian on-premises (dipasang pada desktop, notebook, server di pusat data) perlu mendapat pengecualian?

Tidak perlu. Perisian on-premises yang tertakluk di bawah CFA meliputi produk Microsoft dan ianya adalah kesinambungan daripada kontrak pusat MLA yang telah tamat.

Agensi manakah yang layak menggunakan CFA?

PKPA Bil. 1/2021

Pemakaian pekeliling ini terpakai kepada semua agensi Perkhidmatan Awam Persekutuan. Tertakluk kepada penerimaannya oleh pihak berkuasa masing-masing, peruntukan pekeliling ini dipanjangkan kepada semua:

 

  1. Perkhidmatan Awam Negeri;
  2. Pihak Berkuasa Berkanun; dan
  3. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

SPA Bil. 3/2015

Surat Pekeliling Am ini terpakai kepada semua agensi Sektor Awam bagi semua projek ICT yang dibiayai oleh peruntukan kewangan Persekutuan atau projek ICT yang dilaksanakan melalui kaedah Private Finance Initiative (PFI)/ Public-Private Partnership (PPP).

 

Agensi perlu merujuk PKPA Bil.1/2021 dan SPA Bil.3/2015

Adakah semua Agensi Sektor Awam perlu memohon kelulusan/ pengesahan kepada MAMPU bagi pelaksanaan/pengecualian pengkomputeran awan?

Ya.

Adakah agensi perlu melaksanakan klasifikasi data terlebih dahulu sebelum memohon perkhidmatan Government Hybrid Cloud (GHC)?

Ya. Klasifikasi data penting bagi menentukan jenis pengkomputeran awan yang boleh digunakan, sama ada public cloud (GHC), private cloud (PDSA) atau pusat data agensi sendiri.

Apakah ciri-ciri keselamatan tambahan yang perlu dilakukan oleh pihak Agensi bagi perkhidmatan pengkomputeran awan terutamanya bagi data terperingkat?

Agensi perlu menjalankan penilaian risiko keselamatan maklumat agar teknologi untuk melindungi data rahsia rasmi dikenal pasti di semua peringkat pemprosesan (data-dalam-simpanan, data-dalam-pergerakan dan data-dalam-penggunaan) di pengkomputeran awan.

Adakah Kaedah Perolehan Secara Rundingan Terus Terpakai Untuk Perolehan Perkhidmatan Pengkomputeran Awan?

Berdasarkan PK2.6: Perolehan Perkhidmatan Pengkomputeran Awan Sektor Awam, Para 5.3.1 (c): “Sekiranya teknologi cloud yang diperlukan adalah spesifik dan hanya dapat dibekalkan oleh satu CSP sahaja (sole provider) dari kalangan panel CSP, MAMPU hendaklah mengesahkan perkara tersebut dan memutuskan kesesuaian perolehan berkenaan dilaksanakan secara rundingan terus. Agensi hendaklah melaksanakan rundingan harga berdasarkan tatacara yang berkuatkuasa sebelum dimuktamadkan di peringkat PBM”.

Apakah Tempoh Langganan Perkhidmatan Pengkomputeran Awan di bawah CFA?

Tempoh langganan perkhidmatan pengkomputeran awan di bawah CFA bagi setiap projek adalah selama tiga (3) tahun.